20.9.14

Masih mencari sebuah kasih abadi

Belum ketemu kasih, yang teguhnya seperti ikatan kekeluargaan. Pandang kiri, pandang kanan. Tiada seorang kawan pun yang boleh dikatakan jiwa. "Jiwa", bermakna yang sehati, yang betul-betul memahami, yang tidak akan mengecewakan. Sesungguhnya, walau dekat di hati, hakikatnya, kawan yang dah kenal bertahun pun tak dapat memahami hati ini sepenuhnya lagi. Tak payah kata kawan, keluarga sendiri pun tidak memahami jiwa ini. Hanya Tuhan sahaja yang bisa. 

Mengharungi hidup ini, meskipun dikelilingi selautan manusia, masih tidak dapat menghilangkan rasa kesunyian, rasa keseorangan. Setiap hari, bangun pagi. Rasa tiada perasaan. Rasa macam tak nak bangun kadang-kadang. Seolah tiada apa yang perlu diperjuangkan, Tiada yang mahu selami hati ini. Masing-masing menuduh ini itu, bersangka-sangka, menafikan kewujudan aku.

Yang paling menyedihkan, orang yang paling kita percaya, yang paling kita sayang, menidakkan tindak tanduk kita, tidak mempercayai kata-kata kita. Malah menyokong orang luar lebih daripada aku, orang yang paling terdekat dengannya. Rasa diri terhina, tidak berguna. Sekali lagi, rasa kewujudan diri tidak dihargai. Sedikit demi sedikit bayangku hilang dari pandangan orang ramai. Aku menjadi halimunan. Terlalu kerdil dan tidak bermaya. Tiada lagi yang tahu aku di situ. Tidak dipedulikan, tidak dihiraukan. Pergi ke mana, buat apa...tidak diajak. Diri, bersemadi dengan persekitaran. Halimunan.


Hakikatnya, tiada seorang manusia pun yang akan faham. Kerana mereka bukan kita.
Jika adapun yang memahami sebahagian diri kita, akhirnya akan tetap menyakitkan hati kita.

Dan tangisan dari mata ini pasti akan gugur jua.
Hati, hancur...

Hanya Tuhan sahaja yang memahami, hanya Dia sahaja yang tahu isi hati kita.
Tapi tika kita perlukanNya...kita teraba dalam kegelapan. Menunggu sesuatu..untuk membantu kita untuk bangun kembali.

Hikmahnya datang tidak disangka-sangka. Yang gelap akan menjadi cerah. Yang gerimis akan menjadi hangat. Yang dua akan menjadi satu. Di mana kau "jiwa"? Aku rindukan kau.


No comments:

Post a Comment