Pasti semua orang yang pernah bercinta akan melalui proses ini. Mengenali dan dikenali. Setiap permulaan perkenalan kita akan bermula dengan nama dahulu. Kata ganti diri yang berubah mengikut peredaran masa, mengikut perubahan perasaan.
Pada mula mungkin kita berkenalan agak kasar.
"Hey..aku tengok kau kecik besar kecik besar je..."
"kalau ang tak pi, memang aku balun kau cukup-cukup"
Ada setengah orang agak sopan perkenalannya.
"saya nak awak nyanyikan satu lagu boleh?"
"Boleh, no hal...awak cakap je awak nak saya nyanyikan lagu apa".
Tapi yang pasti, semua perkenalan bermula dengan nama. Kerana dari nama, lahirnya satu perasaan ingin tahu. Ingin tahu tentang orang yang kita bertanyakan namanya itu.
"Assalamualaikum, saya Afzar. Nama awak siapa ye?"
"Waalaikumusalam. Saya Ayu."
Kalau dah perempuan pasti akan tersipu malu kerana ada lelaki mahu berkenalan dengannya. Dan akhirnya hubungan persahabatan itu membuahkan bibit-bibit cinta yang datang dari entah mana. Tidak perlu penafian, semua terungkai, dan akhirnya masing-masing meluahkan perasaan melalui nama panggilan yang manja.
"Sayangku Ayu...bila kita akan bertemu lagi?"
"Sabar ye darling...panjang umur kita akan bertemu lagi."
Dan cinta yang tersemai akhirnya dimeterai dengan satu janji. Dengan satu lafaz, mereka menjadi pasangan suami isteri.
"Darling Afzar... esok awak hantarkan saya pergi kerja ye? Kereta saya rosak."
"eh.. apa panggil Afzar ni. Kan dah kahwin....sayang panggil abang la..ok?"
Nama panggilan diri bertukar-tukar, tapi hati mereka tetap sama. Jadi mengapa perlu kerana nama panggilan ini kita terasa jauh hati?
Pada satu ketika dahulu Ayu berkenalan dengan seorang lelaki tampan, pilihan gadis malaya. Namanya Azman. Ayu memanggilnya abang. Walaupun dengan faktor Azman yang lebih tua daripadanya, panggilan 'abang' bukan sahaja untuk menunjukkan rasa hormat pada Azman, malah panggilan itu untuk menzahirkan rasa cintanya pada pemuda tersebut. Tapi pada suatu hari mereka terpaksa berpisah atas pilihan keluarga Azman. Hati Ayu berkecai. Dia berazam tidak akan memanggil mana-mana lelaki dengan nama 'Abang' lagi.
Jadi apa yang terjadi?
"Darling Afzar... esok awak hantarkan saya pergi kerja ye? Kereta saya rosak."
"eh.. apa panggil Afzar ni. Kan dah kahwin....sayang panggil abang la..ok?"
Ayu,...tidak dapat memanggil Afzar 'abang'. Ia...terhenti di situ. Afzar...walaupun berkecil hati, tapi ia tetap sayangkan Ayu sebagai isterinya. Tapi tiada siapapun dapat menafikan kecemburuannya itu. Afzar tahu mengapa Ayu tidak dapat memanggilnya 'abang' dan dia cemburu dengan Azman. Kerana Azman telah merampas satu nikmat kemesraan daripada isterinya itu.
Kerana itu...bercinta sebelum kahwin...hanya akan mengurangkan nikmatnya selepas kahwin.
Isteri... atau suami mana yang tak nak melalui hari-hari mereka dengan kemesraan nama panggilan. Cukup ke sekadar memanggil nama? Walau dalam hati masih ada sekelumit perasaan sayang?
Mungkin inilah yang perlu mereka telan. Pahitnya bercinta sebelum kahwin. Manisnya sudah hilang, magisnya sudah pudar. Yang tinggal hanyalah kenangan yang suram.
Walau sekuat mana kita nafikan, cemburu itu tetap akan ada. Tapi kerana sayang. Semua yang pahit perlu ditelan, dan mata yang bergenang dengan air mata...perlu ditahan, semahu-mahunya..
Wahai hati...kuatlah menghadapi semua ini. Walaupun ia sukar...tapi tepislah semua perasaan sia-sia itu...
Wahai mata...sabarlah...janganlah mengalah. Janganlah menitis lagi air mata untuk perkara yang tiada nilai untuk ditangisi.
Semua penderitaan ini akan berakhir nanti. Sabarlah... jangan bersedih...
Abang... kasih dan cintaku dunia akhirat...
No comments:
Post a Comment